SESEORANG yang keras hatinya akibat terlalu kotor menghitam pasti tidak lagi merasakan kemanisan dan keseronokan beribadat.
Lebih membimbangkan ialah apabila hati ke tahap tidak ‘bernyawa’ lagi (mati), pasti tiada lagi perasaan insani dalam diri mereka.
Akibatnya, mereka tidak dapat lagi membezakan antara kebaikan dan keburukan. Hatinya terpadam sifat manusia yang bertamadun, mempu nyai peraturan hidup, belas ihsan dan perasaan takutkan kemurkaan Allah s.w.t.
Melakukan kemungkaran dan kejahatan tidak sedikit pun memberi perasaan bersalah dalam diri. Maka sebab itu mereka sanggup melakukan apa saja bentuk jenayah atau kekejaman di dunia ini.
Hati ialah organ paling utama dalam tubuh manusia. Ia kelak akan menjadi penilaian terpenting Allah terhadap hamba-Nya. Bayangkan, setiap kemungkaran dan kejahatan menerbitkan satu titik hitam pada hati manusia jika dilakukan tanpa bertaubat.
Berdasarkan hadis Rasulul lah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Allah berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (Surah al-Muthaffifiin ayat 14)
Oleh itu, manusia perlu sentiasa menjaga hati mereka sama seperti anggota badan yang lain supaya sentiasa sihat dan mendorong mereka melakukan kebaikan.
Hati kotor dan keras perlu dibersihkan kerana kegagalan memulihkannya berfungsi dengan baik kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah pada hari akhirat kelak.
Allah berfirman bermaksud: “Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah az-Zumar ayat 22)
Sucikanlah ia dengan banyak mengingati Allah iaitu berdoa meminta keampunan daripada-Nya setiap hari serta menghitung kesilapan diri. Firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d ayat 28)
Jika seorang berasa senang, berbangga melakukan maksiat selain tiada langsung penyesalan selepas melakukan dosa, itu adalah tanda hati mereka bermasalah. Renungilah kehidupan di dunia ini pasti ada penamatnya. Sudahkah kita bersiap sedia menghadapi fasa seterusnya?
Pendakwah bebas, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid, berkata empat perkara utama yang perlu dijaga untuk memastikan hati sentiasa sihat ialah menjaga amal ibadat, sibuk mencari ilmu, berkawan dengan orang yang boleh memberi bimbingan serta ba nyak berdoa kepada Allah.
“Jika solat lima waktu tidak dijaga ia menyebabkan hati jauh daripada mengingati Allah. Ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak supaya tidak sesekali meninggalkan solat.
“Begitu juga dengan tuntutan mencari ilmu, ia penting kerana amalan yang dilakukan dengan ilmu itu mempunyai kualiti dalam memastikan hati terdorong melakukan kebaikan.
“Bermohonlah kepada Allah untuk apa saja permintaan dan hajat kita kerana ia senjata orang mukmin selain memohon taubat supaya dosa silam diampunkan Allah,” katanya.
Menurutnya, hati adalah raja yang mengawal tubuh badan sama ada untuk melakukan kebaikan atau kemungkaran.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya dan jika rosak daging itu, rosaklah seluruh tubuhnya serta ketahuilah ia adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Setiap Muslim perlu bermujahadah melawan nafsu kerana syaitan tidak akan berhenti menggoda dan memesongkan hati manusia daripada segenap sudut sehingga ke hari kiamat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Diskusi Addin sempena Karnival Gegaria Harian Metro di Taman Awam Kubang Gajah, Temerloh, Pahang baru-baru ini.
Turut hadir, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood yang membincangkan topik ‘Hati Mati, Keluarga Sengsara’, Ia dipengerusikan Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Ustaz Zamanuddin Jusoh.
Siti Nor Bahyah berkata, baik atau sebaliknya seseorang itu bergantung kepada hatinya.
“Lihat hikmah yang terdapat daripada kisah Luqman al-Hakim apabila tuannya memerintahkan supaya menyembelih seekor kambing dan membawa bahagian terbaik dan bahagian yang terburuk.
“Kemudian Luqman membawa kepada tuannya seketul hati. Berkata tuannya: “Wahai Luqman sembelih seekor kambing dan bawa seketul daging paling tidak baik.” Lalu Luqman juga membawa seketul hati.
“Ia membawa maksud baik atau tidak seseorang itu bergantung kepada hatinya. Maka bersihkan hati dengan membuang empat ‘racun’ dalam diri iaitu berlebihan dalam berbicara, berlebihan melihat sesuatu, berlebihan dalam makan dan berlebihan dalam pergaulan.
Menurutnya berlebihan dalam berkata-kata menyebabkan seseorang itu banyak melakukan dosa.
“Dalam sebuah kisah ketika Huzaifah bertemu nabi dan meminta diberi petua kepadanya apa yang patut dia cakap supaya isterinya senang mendengar. Nabi menjawab: “Beristighfar dahulu sebelum bercakap.”
“Jika makanan terisi de ngan banyaknya menyebab kan ia akan menjadi racun yang mengotorkan hati. Luqman al-Hakim berkata kepada puteranya: “Janganlah engkau banyak tidur dan makan. Barang siapa banyak melakukan kedua-duanya, pada hari kiamat dia miskin amal soleh.”
“Luqman memberi petua, perut sepatutnya diisi dengan satu pertiga makanan, satu pertiga minuman dan satu pertiga lagi untuk pernafasan,” katanya.
Siti Nor Bahyah mengingatkan kepada suami supaya memastikan mereka membawa rezeki halal lagi bersih kepada keluarganya.
“Kisah seorang lelaki yang bertanyakan kepada Rasulullah kenapa Allah tidak makbulkan doanya kerana dia tidak mendapat isteri dan anak yang soleh.
Rasulullah berkata: “Perbaiki makanan dulu (halal dan baik) nescaya doa akan dikabulkan.”
“Justeru, setiap pagi sebelum suami melangkah keluar mencari rezeki salam dan cium tangannya serta berpesan kepada suami supaya mencari rezeki yang halal kerana tidak sanggup dibakar api neraka jika ia daripada sumber haram,” katanya.
Beliau berkata, tiga ramuan atau petua yang dapat membantu menyuburkan hati ialah bermuhasabah diri, menimbulkan perasaan khauf (takut) kepada Allah serta banyakkan beristighfar.
“Sebagai suami, contohnya mereka perlu bertanya diri mereka adakah sudah menjaga amanah (isteri dan anak) dengan sempurna? Binalah keluarga sehingga ke syurga apabila menjadikan solat berjemaah bersama-sama sebagai amalan.
“Melakukan solat berjemaah dapat menambah keberkatan serta merapatkan hubungan kekeluargaan. Maka akan lahirlah ‘keluarga syurga’ yang diidam-idamkan.
“Melalui istighfar juga mampu membersihkan diri manusia daripada dosa. Nabi yang dijamin syurga sekalipun tetap meminta keampunan kepada Allah setiap hari,” katanya.(copy paste)